Tobacco Harm Reduction (THR) - Jari Jemari Menari

Mar 7, 2022

Tobacco Harm Reduction (THR)

 

Assalamualaikum buat semua pembaca, 




Percaya atau tidak kalau saya katakan, antara isu yang paling popular yang ada di Malaysia, namun masih belum berjaya dapat dihapuskan ialah berkenaan dengan isu rokok?. Isu ini sangat sensitif bagi sesetengah pihak.Jika tersilap kata mungkin akan menimbulkan perselisihan faham dan pergaduhan antara pihak A dan pihak B. Dari kawan juga boleh bertukar jadi musuh gara-gara isu rokok.

Malahan, baru-baru ini juga ada kes di sebuah asrama, dimana seorang budak lelaki menjadi mangsa buli hanya gara-gara dia menegur mengenai perbuatan rakannya yang menghisap rokok. Jadi, budak lelaki ini telah ditumbuk oleh rakannya. Cuba kalian fikir sejenak. Budak sekolah juga sudah mula menghisap rokok tanpa segan silu. Berbanding dengan orang dulu. Perbuatan menghisap rokok dalam kalangan budak masih boleh dikawal kerana kedua ibu bapa mengambil berat mengenai isu ini. Mereka mencegah semampu yang mungkin untuk mengelakkan anak mereka terjebak dalam kancah ini. 

Jika dilihat, pihak Kerajaan juga sudah banyak melakukan kempen untukmencegah masyarakat kita daripada terjebak dengan tabiat merokok. Antara kempen yang pernah dilaksanakan ialah “Tak Nak Merokok”, “Speak Out Express Your Right”, “Jangan Mula Merokok” dan banyak lagi. Ini menunjukan seriusnya masalah merokok dalam kalangan masyarakat kita sekarang. Dari media cetak hingga media massa semuanya diguna pakai oleh pihak kerajaan untuk menyebarkan kesedaran mengenai bahana rokok ini. 

Justeru, dengan menggunakan pendekatan pengurangan kemudaratan tembakau atau Tobacco Harm Reduction (THR) dan beralih kepada produk alternatif seperti rokok elektronik yang kurang mudarat, dapat membantu mengurangkan pengambilan tembakau sekali gus mendorong mereka berhenti merokok. Hal ini juga dapat membuatkan perokok tegar tradisional beralih kepada alternatif yang lain. 

Antara fakta yang tidak dapat disangkal ialah rokok elektronik kurang mudarat berbanding rokok tembakau dan mempunyai keberkesanan untuk membuat perokok berhenti merokok. 

Buat pembaca sekalian, mari kita refresh semula isi kandungan bahan di dalam rokok. 

Nikotin adalah bahan dalam rokok yang tidak asing lagi namanya. Kajian menunjukkan nikotin adalah penggalak pertumbuhan kanser. Bagaimana nikotin menyebabkan ketagihan? Nikotin secara amnya akan meransangkan pengeluaran dopamin dalam otak. Dopamin adalah hormon yang menyebabkan seseorang untuk merasa gembira dan teruja. Jadi semakin lama seseorang itu menghisap rokok, semakin sukar dia meninggalkannya. Kesan lain nikotin terhadap badan ialah pening kepala, gangguan system pencernaan, ulser perut dan merosakkan saluran darah. 

Tar mengandungi pelbagai bahan kimia. Sebanyak 60 bahan kimia yang dijumpai dalam tar adalah bersifat punca kanser.  Apabila seorang perokok menghisap rokok, tar akan menghasilkan permukaan yang melekit pada dinding dalaman paru-paru. Hal ini akan menyebabkan kanser dan penyakit kronik pernafasan. Tar juga merupakan penyebab paru-paru menjadi hitam. Bahan ini bukan sahaja menyebabkan penyakit pada paru-paru, ia juga boleh menyebabkan kanser mulut, kerosakan gigi dan penampilan yang kurang baik.

Beberapa tahun yang lepas, pengunaan rokok elektronik mula diperkenalkan. Pada mulanya saya sendiri tidak faham dengan konsep rokok eletronik ini kerana bagi saya apa saja benda yang mengeluarkan asap itu boleh memudaratkan kesihatan. Namun, jika dilihat rokok elektronik/vape ini sedikir sebanyak membantu perokok untuk beralih kepada satu perubahan alternatif yang baru. Mungkin dengan cara ini akan sedikit sebanyak membantu perokok untuk berkurangan nafsunya terhadap rokok tradisional. 

Bercakap soal rokok ini. Izinkan saya berkongsi satu cerita mengenai pakcik saya di Pulau Pinang.

“Adik, belikan abah 5 kotak rokok dekat kedai mamak. Nah duitnya.”

Seingat saya, sepanjang saya kenal dengan pakcik saya. Di tangannya tidak akan lepas dengan putung rokok. Kadang kala, saya sendiri kurang selesa melihat pakcik saya yang ketagih merokok itu. Kerana seperti yang kalian tahu, bau asap rokok sangat la busuk dan dia akan meninggalkan kesan bau kepada kita juga walaupun kita tidak merokok. Jadi itu membuatkan rumah pakcik saya itu berbau rokok. Sesak nafas dibuatnya. 

Malahan, jika dikira-kira, boleh dikatakan dalam sehari hampir berkotak-kotak rokok yang dibelinya. Entah berapa banyak pula duit yang dikeluarkannya dalam sehari. Itu benda wajib yang perlu ada. Jika tidak, resah gelisah dibuatnya.  Tambahan pula, ketagihan pakcik saya terhadap rokok ini boleh dikatakan teruk kerana dia sanggup menghabiskan masanya menghisap rokok dari bersosial dengan keluarga dan orang di sekelilingnya. Sedangkan, sebelum dia ketagih merokok dia seorang yang sangat peramah dan mesra dengan semua. 

Pakcik saya juga turut mempunyai penyakit kronik yang lain seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, dan macam-macam lagi. Namun, pakcik saya sendiri walaupun sudah banyak kali dinasihati dan dimarahi oleh makcik saya. Dia masih tetap tidak mahu mengubah tabiat rokoknya itu. Makcik saya turut menyuarakan kerunsingannya kepada kami berkenaan hal ini. Si isteri risau akan kesihatan suami namun si suami mengangap kesihatan dan nikmat yang diberikan oleh Allah itu masih ada pengganti. Nak dilarang tidak boleh kerana penjualan rokok di kedai sudah berleluasa dan hanya budak bawah umur sahaja yang tidak akan dapat membeli rokok di kedai. Selain dari itu, pakcik saya juga mempunyai masalah pencernaan. Jika dia berada di dalam tandas, dia akan mengambil masa yang sangat lama. Jadi, dia akan berada di dalam tandas sambil menghisap rokok. Kata pakcik saya, rokok dapat membuatkan dia senang untuk membuang. Itu teori dari pakcik saya yang saya sampai sekarang masih ingat. 

Nak dijadikan cerita, kawan pakcik saya telah menghadiahkannya vape sempena harijadinya. Katanya, itu mungkin dapat membantu pakcik saya mengurangkan tabiat menghisap rokok. Pakcik saya yang lebih gemarkan rokok tradisional pada mulanya menolak kerana katanya tidak feel. Dia yang sudah bertahun-tahun sudah selesa menghisap rokok tradisional sukar untuk menerima benda baru dalam hidup secara tiba-tiba. Tapi, atas desakan kawannya itu. Pakcik saya mula menghispap vape walaupun dia tidak gemarkannya. Katanya leceh kerana perlu beli flavour dan isikan ke dalam vape. Kerja yang banyak. Namun, dia gunakannya juga. 

Apa yang mengejutkan ialah pakcik saya sudah mula menjauhi rokok tradisional secara perlahan-lahan. Walaupun vape juga tidak bagus diamalkan. Namun, ini merupakan satu perubahan yang baik setakat ini. Pakcik saya turut meluahkan perasaan dimana perasaannya untuk menghisap rokok tradisional berkurangan kerana vape lebih mudah dan menjimatkan.

2 comments:

fairus said...

Syukur dah lama saya berhenti merokok..

Syazni Rahim said...

terima kasih atas perkongsian